Yang Mengenali Diri Ini

Monday, July 2, 2012

Persoalan Utama

Gambar daripada Google Image         

         Deringan jam loceng mematikan mimpi indahku. Mimpi yang aku sendiri tidak mampu untuk mengingatinya kembali. Mimpi yang terus hilang tanpa meninggalkan jejak dalam ingatanku. Telefon bimbit ku capai. Skrin telefon ku tatap untuk melihat panggilan yang masuk sewaktu lenaku. 

          'Ternyata tidak ada yang menganggu,' kata hati kecilku.

          Punat jam loceng ku tekan. Sekaligus mematikan jeritannya yang membingitkan telinga. Aku menguap beberapa kali. Cuba meraih tenaga yang ada dari sekitaran. Bantal yang berserakan ku susun semula. Cadar yang kusut ku tarik supaya kembali tegang seperti sebelumnya. Setelah selesai mengemas, aku melangkah keluar dari perut bilik. Melangkah dengan longlai kerana masih lagi dengan ngantuk ku. Langkah di atur menuju bilik air. Daun pintu dirapatkan dan dikunci. Aku berdiri menghadap cermin. Melihat wajahku yang kusut masai.

          "Selamat Pagi!" ucapku di hadapan cermin sambil tersenyum. Inilah kebiasaanku setiap pagi. Mengucapkan selamat pagi kepada diri sendiri. Aku percaya yang kita harus memulakan pagi dengan senyuman dan kegembiraan. Jadi, mengapa tidak kita mengucapkan kata-kata indah buat diri kita sendiri di permulaan hari.

          Usai membersihkan diri, aku bergegas semula ke kamarku. Menukar pakaian dan merapikan rambutku. Pabila selesai dengan rutin harianku, aku terus melangkah ke dapur. Menyediakan air panas buat pembasah tekak di waktu pagi. Mug besar kegemaranku sering menjadi pilihan. 

          'Mana best kalau tak minum dalam mug ni,' bisikku sendirian.

          Setelah selesai membancuh kopi kegemaranku, aku mengatur langkah ke ruang tamu. Balkoni yang menghadap ke kota menjadi sasaran. Inilah tempat yang paling aku gemar di dalam rumah ini. Tempat yang sering aku pergi sekiranya aku ingin bersendirian. Inilah ketenangan bagi diriku. Kesunyian pagi dan pemandangan sesak ibu kota. Melihat ragam warga kota yang sibuk dengan agenda masing-masing. Pemandangan sebegini selalu membuatkan aku terfikir. Berfikir tentang diri, tentang kerjaya dan juga tentang masa depan. 

          Apa yang kita cari dalam hidup ini? Apa sebenarnya yang kita mahukan? Harta? Keluarga? Ketenangan? Apa sebenarnya? Bagaimana kehidupanku lima tahun akan datang? Adakah aku masih begini? Adakah aku masih lagi bernafas? Inilah persoalan-persoalan yang sering aku timbulkan sewaktu berada di balkoni ini. Mungkin tidak ramai yang berbuat begini. Namun, sedarkah kita yang apa sebenarnya yang kita cari di dunia ini. Itulah persoalan utama yang sering kita lari daripada mencari jawapannya.

          Pernahkah anda berfikir tentangnya?

No comments:

Post a Comment