Salam sayang buat semua yang membaca.
Hari ini saya ingin berkongsi sedikit dengan anda semua tentang sebab mengapa saya menulis. Saya percaya, ramai yang menulis kerana minat. Namun, bagi diri saya, selain minat saya menulis kerana saya ingin berkongsikan cerita saya dengan orang lain.
Inilah yang ingin saya sampaikan dalam novel-novel saya. Walaupun mungkin ramai yang beranggapan bahawa novel saya ini hanya sekadar bahan bacaan yang sama genrenya dengan novel-novel lain, tetapi bagi saya itulah cerita yang saya ingin kongsikan. Sekadar cebisan pengalaman yang pernah saya lalui dalam hidup ini. Bagi saya, setiap hasil tulisan saya mengandungi satu mesej yang jelas dan saya harap para pembaca turut faham akan mesej tersebut.
Mesej yang saya maksudkan ialah tentang realiti kehidupan. Kadang-kadang, kita sering mengeluh dengan segala macam kepahitan yang datang dalam hidup kita. Namun, sedarkah kita yang kita sebenarnya sedang mencorakkan sendiri kehidupan kita. Kita diberi pilihan dan pilihan itulah yang menentukan masa depan kita. Mengapa kita memilih untuk berduka sedangkan kita boleh memilih untuk tertawa. Jadi, bergembiralah walaupun kita ditimpa musibah dan sekiranya musibah itu terlalu berat untuk kita menanggungnya, pergilah kepada orang yang boleh kita percayai. Berkongsilah dengan mereka kerana berdua lebih baik.
Bagi saya, salah satu cara untuk saya berkongsi cerita saya ialah dengan menulis. Pengalaman hidup saya akan saya coretkan sebahagiannya agar pembaca di luar sana tahu bahawa hidup ini tidaklah semudah yang mereka sangka namun, sekiranya kita bersabar dan tenang menghadapinya, nescaya akan tiba saatnya nanti kita akan merasa sinar kebahagiaan. Jadi, kenapa saya ingin menulis? Kerana saya ingin berkongsi cerita yang saya ada dengan anda semua. Moga dengan perkongsian ini, anda semua terhibur dan mendapat pengajaran yang bermakna daripadanya.

No comments:
Post a Comment