Yang Mengenali Diri Ini

Tuesday, July 24, 2012

Suatu Petang...

          Aku melihat dari muka pintu. Berdiri kaku melihat jasad di hadapanku. Leka dengan kerjanya. Mengaut tanah dari longkang yang tersumbat. Sedikit pun kehadiranku tidak dihiraukan. Mungkin tidak penting agaknya. 

         Aku masih lagi di situ. Kaku dan membisu. Masih tidak disedari olehnya. Jasad yang sedang sibuk bekerja. Lama aku berdiri disitu sehingga pelbagai perkara yang menerjah ke ruang minda.

          'Adakah aku dianggap sebagai anak derhaka? Adakah aku seorang yang jahat? Adakah aku ini anak yang tidak tahu mengenang budi?'. Inilah persoalan yang membelenggu diriku ketika ini. Sungguh menyesakkan rasanya. Rasa bersalah turut sama hadir tanpa aku pinta.

          'Salahkah aku selama ini untuk bersikap begini jika kau tidak pernah sekalipun menunjukkan keprihatinan mu pada diriku? Salahkah aku jika segala perilaku ku yang tidak kau senangi ini membuatkan kau benci terhadap ku sedangkan selama ini engkau tidak pernah sekali pun menunjukkan kebaikkan mu terhadapku? Jadi, aku kah yang harus dipersalahkan?' bisik hatiku lagi. Merintih dengan keadaan yang sedia ada.

          Bagaimana untuk aku membantunya jika selama ini dia tidak pernah membantu ku. Bagaimana  dia boleh mengharapkan aku untuk datang bertanya 'Adakah kerja yang boleh dibantu,' sedangkan selama ini aku sering dibiarkan berseorangan. Bagaimana aku dapat mengasihaninya jika selama ini hak aku sering diabaikan. 

          Mengertikah engkau yang aku mungkin tidak sesempurna seperti yang engkau mahu. Namun, haruskah aku yang dipersalahkan atas semua ini. Persoalan ini akan terus membelenggu diriku walau pelbagai cara telah aku lakukan.

Sunday, July 22, 2012

Salam Ramadhan

          Salam buat semua yang membaca. Alhamdulilah, hari ini sudah dua hari kita semua berpuasa dan diharap masih mengekalkan meomentum yang ada. Walaupun sudah dua hari bermula, tidak salah jika saya mengucapkan salam Ramadhan buat semua.

          Sudah lama agaknya saya tidak menulis dalam blog ini kerana saya sibuk bercuti. Jadi, baru sekarang saya berkesempatan untuk menulis. Sempena bulan mulia ini, saya sekali lagi mengucapkan selamat berpuasa bagi yang beragama Islam. Semoga segala ibadah kita sepanjang bulan ini diterima olehNya.

Gambar dari Google Images

          Di kesempatan ini, saya ingin memaklumkan sedikit tentang jadual saya. Untuk makluman anda semua, saya kini sedang sibuk menyiapkan novel kedua saya dan saya berharap anda semua dapat memberikan sokongan buat saya. Masih lagi mengekalkan genre novel remaja dan romantik. Saya datangkan sedikit kelainan dalam novel saya ini. Cara penceritaan yang tersendiri. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Amin.

Tuesday, July 17, 2012

Berehat Seketika

          Salam Selasa semua. Semoga semua berada dalam sihat sejahtera. Hari ini, saya tidak dapat untuk menulis dengan panjang kerana saya kesuntukan masa. Saya akan bercuti buat seketika dan saya merancang akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa rakan-rakan saya yang baru balik dari United Kingdom.

          Sudah lama saya tak berjumpa dengan rakan-rakan saya ini. Jadi, kebetulan mereka semua ada mengadakan 'reunion' jadi, sempatlah saya datang dan berjumpa dengan mereka semua. Oleh itu, buat tiga hari ini, saya mungkin tidak dapat untuk menulis dalam blog ini. Nanti saya akan masukkan gambar dan ceritakan tentang percutian saya itu. Sekian. Semoga semua yang ada gembira dengan kehidupan masing-masing. Spread a love around the world. 

Monday, July 16, 2012

Tips Menulis Cara Shakir Abdullah

Salam kepada pengunjung blog saya ini. Alhamdulilah, walaupun masih baru setidak-tidaknya masih ada yang sudi singgah walaupun sebentar. Terima kasih saya ucapkan.

          Hari ini saya mahu berkongsi sedikit tips menulis yang saya peroleh sendiri melalui pengalaman saya sebaga penulis. Jujur saya akui yang saya tidak punya bakat atau skil untuk menulis tetapi apa yang saya ada hanyalah minat membaca dan keinginan untuk melihat hasil karya saya sendiri di hadapan mata.

          Jadi, saya bermula dari kosong. Daripada tidak menegetahui apa-apa tentang dunia penulisan sehinggalah sekarang. Saya menjalankan kajian saya sendiri. Mula-mula saya cari bodata novelis-novelis terkenal tidak kira dalam Malaysia atau luar negara. Saya kaji bagaimana mereka menulis dan sejarah hidup mereka dan dari situ saya belajar yang sekiranya kita ingin menjadi penulis, perkara yang perlu kita ada ialah membaca. Perkara ini sangat penting kerana melalui membaca, kita dapat memperoleh idea.

Gambar dari Google Images

          Apa yang saya sering lakukan, saya akan sentiasa bersedia sekiranya ilham datang. Tidak kira di mana saya berada. Jadi, sekiranya saya terdetik sesuatu tentang idea novel, saya akan segera mencatatnya dalam buku supaya idea itu tidak hilang dan jika saya tidak membawa buku nota saya, saya akan menaipnya di dalam telefon. Saya yakin ramai penulis yang berbuat sebegini.

          Dalam buku nota saya, saya akan kumpul seberapa banyak idea yang saya ada. Kemudiannya, saya akan pilih di mana yang sesuai untuk dijadikan cerita novel saya. Ilham saya kebanyakkannya datang daripada pengalaman hidup saya sendiri dan saya ubahnya sedikit. Selepas saya memilih tema dan idea-idea, saya akan mula merangka jalan cerita secara keseluruhannya. Selalunya jalan cerita ini panjangnya dalam satu hingga tiga muka surat. Jalan cerita ini sangat penting sebab ia akan membantu saya sekiranya saya ingin melakukan perubahan pada jalan cerita sewaktu menulis. Jadi, mudah untuk saya kenalpasti perubahan yang berlaku.

          Selesai sahaja jalan cerita, saya akan berikan kepada rakan baik saya untuk mereka nilai jalan cerita tersebut. Jika ramai yang berpuas hati, maka saya akan teruskan dan jika tidak saya akan ubahnya kembali. Kemudian, saya akan mula memikirkan secara terperinci watak-watak yang ada serta perwatakan mereka. Saya juga mula merancang jumlah muka surat dan bab yang bakal saya tulis. Perkara ini turut memudahkan proses penilaian kualiti diakhir penulisan. Setelah siap semuanya, saya akan mula membayangkan dalam kepala saya situasi yang akan berlaku dalam setiap bab. Jadi, saya akan menulisnya sepertimana dalam gambaran kepala saya. Rangka cerita bagi setiap bab akan saya tuls bagi memudahkan saya sewaktu menulis nanti. Saya sentiasa pastikan yang terdapat gambaran jelas dalam ingatan saya tentang apa yang saya rangka bagi tiap-tiap bab.

Gambar dari Google Images

          Setelah selesai merangka bab, saya mulalah menulis. Oleh sebab saya seorang yang senang berubah mood, jadi saya akan sertakan mood saya sewaktu menulis. Contohnya, apabila saya sedang gembira, saya akan menulis bahagian novel yang menunjukkan mood tersebut dan begitulah sebaliknya. Sehinggalah novel saya selesai. Tapi, perlu diingatkan, disiplin mesti ada dan juga kesabaran. Dua perkara ini sangat-sangat diperlukan sewaktu menulis kerana kebanyakan orang yang ingin menulis dan pernah cuba menulis sering gagal kerana kurang sabar dan tidak berdisiplin. Sebab itu, ramai yang berputus asa sekerat jalan.

          Oklah, saya berhenti di sini dulu. Nanti kalau ada masa lagi, saya akan sambung dengan tips yang berikutnya. Jadi, selamat menulis!


Sunday, July 15, 2012

20 Kedai Buku Tercantik Di Dunia - Bahagian 2

          Salam buat semua, hari ini saya akan sambung entri semalam iaitu senarai 20 kedai buku paling cantik di dunia. Selamat membaca.

11)  Shakespeare & Company, Paris, France


          Bagi pengemar buku yang tidak sukakan kekemasan, inilah kedai buku yang sangat sesuai. Mempunyai ciri-ciri yang terdapat dalam Sherlock Holmes. Secara peribadi, saya menyukai hiasan sebegini kerana ianya memberikan satu ciri yang berlainan dengan kedai buku lain.

12) The Last Bookstore, Los Angeles, CA


          Kedai buku ini lebih menyerupai sebuah perpustakaan. Ruang yang luas dan rak-rak buku yang tersusun.Di tambah lagi dengan tiang roman yang tinggi. Memberikan ketenangan dan kurang dari kebisingan. Sesuai dijadikan tempat membaca dan membeli belah.

13)  Atlantis Books, Santorini, Greece



          Kedai buku ini agak lain dari yang lain. Menekankan rekaan seperti kelasi kapal. Sesuai dengan lokasinya yang berdekatan dengan tepi pantai.

14) Bart’s Books, Ojai, California


          Kedai buku outdoor yang juga konsep baru yang boleh diketengahkan oleh kedai-kedai baru. 

15) Corso Como Bookshop, Milan, Italy



          Kedai buku yang menggabungkan galeri seni dan juga kedai buku. Juga konsep menarik yang boleh digunapakai bagi kedai buku. Saya menyukai susun atur buku-bukunya. Seperti pameran di muzium.

16)  Barter Books, Alnwick, UK



          Seperti sebuah perpustakaan lama. Kedai buku ini menjadi tempat untuk pengunjung bersantai sambil membaca selain daripada membeli buku-buku yang ada. Sangat mesra pengguna.

17) The American Book Center, Amsterdam, the Netherlands


          Rekaan moden yang unik dicampur dengan sedikit unsur alam. 

18) VVG Something, Taipei, Taiwan


          Bagi sesiapa yang menggemari seni pertukangan. Kedai buku ini amat bertepatan dengan anda. Kedai buku yang menyerupai sebuah bengkel kayu.

19)  Ler Devagar, Lisbon, Portugal


          Kedai buku yang bagaikan kisah khayalan. Buku yang penuh hingga ke siling dan basikal terbang.

20) Daikanyama T-Site, Tokyo, Japan



          Kedai buku mewah yang mengetengahkan ciri moden yang mewah. Rekaan yang kemas dan eksekutif. Sesuai bagi pengemar buku yang pentingkan kualiti dan elit.











Saturday, July 14, 2012

20 Kedai Buku Tercantik Di Dunia - Bahagian 1

Salam buat semua pembaca.

          Hari ini, saya hendak bawa semua pembaca untuk melihat 20 buah kedai buku yang tercantik di dunia. Semasa saya kecil-kecil dulu, saya selalu berangan untuk memiliki kedai buku sendiri selain perpustakaan sendiri di rumah. Sebab saya suka melihat buku yang banyak tersusun di atas rak selain saya juga suka membaca. Jadi, mari kita lihat senarai 20 kedai buku tercantik di dunia.

1) Selexyz Bookstore, Maastricht, Holland


           Kedai buku ini dikatakan kedai buku paling cantik di dunia. Bagi saya, secara peribadinya saya amat menyukai ruang dalaman kedai buku ini. Dengan bumbung yang tinggi dan penuh dengan lukisan, ia kelihatan seolah-olah sebuah muzium yang menempatkan deretan buku dan novel. Sungguh selesa untuk kita membaca di sini. Untuk pengetahuan semua, kedai buku ini telah diubahsuai daripada sebuah gereja Dominican. Jadi, jika ada sesiapa yang berkunjung ke Belanda, bolehlah melawat ke kedai buku ini. 



2) The Bookàbar Bookshop, Rome, Italy


          Kedai buku ini merupakan kedai buku yang mempunyai rekaan moden. Selain kemas dan teratur, kedai buku ini turut menekankan aspek kesenian dalam seni binanya. Contoh yang paling jelas ialah pada silingnya. Kemas dan bersih.



3) Plural Bookshop, Bratislava, Slovakia



          Kedai buku ini agak mesra pengguna dan sesuai untuk keluasan kedai yang berskala kecil. Saya amat mengemari tangga dan rak-rak buku di bahagian kiri dan kanan. Lebih kelihatan seperti sebuah pementasan daripada sebuah kedai. Mungkin sesuai untuk perpustakaan mini saya dirumah. Hehehe.



4) Livraria Lello, Porto, Portugal



          Kedai buku ini dibuka pada tahun 1906 dan bercirikan neo-gothic. Rekaan tangganya yang terletak ditengah-tengah kedai sangat unik dan cantik. Saya menyukai ukiran-ukiran yang terdapat di sekitar kedai. Menepati citarasa saya yang sukakan ukiran kayu. Sungguh mewah dan antik.





5)  Cook & Book, Brussels, Belgium



          Kedai buku ini merupakan kedai buku kegemaran saya. Saya meminati konsep yang diketengahkan. Ada ruangan untuk membaca dan buku-bukunya tersusun dalam rak yang sangat cantik. Yang paling menariknya kedai buku ini, terdapat buku-buku yang tergantung seumpama sedang terbang di siling kedai. Seperti dalam cerita khayalan kanak-kanak. Sungguh menarik dan kreatif. Warna yang digunakan juga menarik dan kena dengan konsep.



6) Bookworm, Beijing, China


          Kedai buku ini kelihatan seperti sebuah restoran. Namun, apa yang saya minat tentang kedai ini adalah hiasan lampunya. Seperti sebuah lilin yang tergantung.



7) Librería El Ateneo Grand Splendid, Buenos Aires, Argentina 




          Kedai buku ini boleh dikatakan kedai buku terbesar di dunia kerana kedai ini telah di ubahsuai daripada sebuah istana teater yang dibina pada tahun 1920-an. Kotak teater yang dahulunya digunakan bagi tetamu VIP untuk menonton teater kini telah diubahsuai menjadi ruangan membaca. Manakala pentas teater dijadikan sebagai cafe untuk pengunjung berehat. Kedai buku ini menjadi daya tarikan pelancong dan dikatakan menerima ribuan pelancong setiap tahun.


8)  Poplar Kid’s Republic, Beijing, China



          Kedai buku ini sangat menepati tema bagi kanak-kanak. Jangan katakan kanak-kanak, rasanya orang dewasa turut teruja untuk datang ke sini kerana keunikan rekaan dalaman kedai ini. Kemas dan keratif.



9) Livraria da Vila, Sao Paulo, Brazil



          Kedai buku ini seolah-olah seperti dibina dengan menggunakan buku kerana hampr kesemua dindingnya dipenuhi dengan buku. Tetapi bagi saya, ianya sangat menarik dan saya sukakan rekaan yang moden seperti ini. Mungkin boleh dipertimbangkan untuk dijadikan tema bagi kedai buku saya nanti. (Masih tak habis-habis dengan berangan.)



10) Cafebreria El Pendulo, Mexico City, Mexico


          Kedai buku ini menekankan tema hutan dan suasana hijau. Jadi, bagi penggemar buku dan kehijauan alam, bolehlah berkunjung ke sini. Selain itu, terdapat juga cafe, dalam kedai ini bagi memudahkan pengunjung yang keletihan dan haus.


Sumber rujukan : klik sini 

Sunday, July 8, 2012

Kenduri Kahwin

Salam buat semua yang membaca entri ini.

          Maaf kerana semalam saya tidak sempat untuk menulis entri baru dalam blog ini kerana saya sibuk menghadiri kenduri kahwin sepupu saya di Bangi. 

          Saya dan keluarga bertolak dari rumah kami di Melaka pukul 11 pagi dan tiba di sana sekitar pukul 1.15 petang. Apa yang menariknya, sepupu saya ini berkahwin dengan seorang gadis warga Ireland. Semua yang hadir kelihatan riang dan gembira apabila kelibat pengantin muncul di hadapan pelamin. 

          Bagi saya, majlis perkahwinan ini dikira meriah dengan kehadiran sanak saudara dan saya seronok bermesra dengan ahli keluarga yang hadir. Selain hari raya, majlis kenduri kahwinlah tempat untuk kita berjumpa dengan sanak saudara. Berikut ialah gambar sepupu saya yang sempat saya rakam sewaktu majlis berlangsung.

Gambar sepupu saya, Adi dan isteri.

Friday, July 6, 2012

Sinopsis Kisah Kau, Aku & Dia


Salam buat semua. Hari ini saya tidak ada mood untuk menulis entri baru. Jadi, saya akan berikan sinopsis novel pertama saya dan sedikit sedutan daripada isi novel ini.

Sinopsis


          Jika ilmu, paras rupa dan harta mampu memberikan "kesempurnaan", maka itulah yang terjadi pada trio kegilaan ramai dari Lagenda Permai ini. Rizman yang merupakan pelajar baru di sekolah itu sangat terkenal dengan kematangan fikirannya. Manakala Farish pula dikenali kerana harta kekayaan yang ada pada bapanya. Tidak lupa juga Armand yang menjad kegilaan pelajar perempuan hanya kerana rupa parasnya yang tampan. Ketiga-tiga mereka bersahabat baik walaupun berasal dari latar keluarga yang berlainan. Namun "sesempurna" mana sekalipun seseorang itu, tidak akan terlepas daripada dugaan. Satu per satu cabaran hidup yang datang menimpa ketiga-tiga jejaka ini. Kebahagiaan dan kegembiraan mula pudar dari wajah mereka. Hanya murung yang setia menemani akibat tekanan yang dialami. Tetapi, hari tidak selalunya mendung. Lambat-laun, akan ada sinar yang menyuluh.

          Jadi, bagaimana dengan ketiga-tiga jejaka pujaan ramai ini? Mmapukah Farish mencari teman lamanya yang telah hilang? Apakah reaksi yang akan Armand berikan tentang status barunya? Apa pula cara Rizman untuk melembutkan hati jirannya? Tiga kisah, tiga watak dan cabaran. Kesemuanya diadun di dalam satu novel iaitu Kisah Kau, Aku & Dia.

Sedutan Kisah Kau, Aku & Dia


          'Maafkan diri ini jika sering menganggu hidupmu. Bukan niatku untuk melukakan hatimu yang sudah sedia sakit akibat perbuatanku dahulu. Aku cuma ingin melepaskan rinduku padamu. Rindu yang sudah lama ku benamkan dalam lautan dosa. Sungguh aku sangat menyesali akan perbuatanku padamu dan aku harap kau bahagia di samping teman barumu. Warkah ini merupakan yang terakhir dariku dan aku berjanji pada diriku yang aku tidak akan muncul lagi dalam hidupmu selepas ini. Semoga memori indah masa silam dapat mengubat rinduku padamu. Aku akan doakan kebahagiaanmu dari jauh.'

          Surat yang tidak bernama itu dilipat Farish. Dia tahu yang surat itu dan surat-surat yang diterimanya sebelum ini berasal dari pengirim yang sama. Penulis yang merahsiakan namanya itu sering menyatakan rasa keinsafan dan rindunya di dalam surat yang dihantar. Malah dia juga tahu tentang kemalangan tujuh tahun yang lalu. Jika benarlah apa yang diduga, tentu orang yang menghantar surat ini adalah Sara. Hanya dia saja yang tahu tentang kemalangan itu selain ahli keluarganya dan Pak Mat. Tapi, kenapa mesti bersembunyi? Kalau rindu, kenapa mesti lari? ‘Ah, peningnya! Mana aku boleh cari jawapan? Hah, Natasha! Ya, Natasha kenal dengan Sara. Mungkin aku boleh tanya dia pasal Sara.’

Thursday, July 5, 2012

Kenapa Novel Romantik Mesti Sama?

Lambakan novel cinta di pasaran - Dari Google Image

Salam buat semua yang membaca.

          Saya sering mendengar komen yang hampir sama dari semua pengemar novel khususnya pembaca lelak tentang kebanjiran novel cinta di pasaran. Boleh dikatakan hampir 80% novel yang berada di pasaran ketika ini bergenre cinta dan romantik. Jadi, secara tidak langsung selera pembaca lebih tertumpu kepada satu tema sahaja iaitu romantik.

          Bukan tidak ada novel yang lain dari genre ini tetap sambutannya kurang mengalakkan dan kerana tu, kebanyakan novelis lebih selesa untuk menulis tentang cinta. Tdak habis dengan rungutan itu, saya ada juga terdengar tentang kata-kata seperti ini. "Kenapa novel-novel cinta mesti ada perkara yang sama? Hero mesti kaya, handsome, berpelajaran tinggi, orangnya gagah dan mampu pakai kereta mewah. Heroin pulak, mestilah kena cantik, langsing, diminati ramai lelaki dan sebagainya. Tak boleh ke kalau kita tulis pasal hero dan heron yang biasa-biasa sahaja."

          Bagi saya, setiap penulis ada sebab yang tersendiri mengapa mereka menulis sedemikian. Jika ditanya soalan itu kepada saya, saya akan menjawab yang saya meletakkan watak-watak hero dan heroin dalam novel saya sedemikian rupa kerana saya inginkan pembaca saya selalu memikirkan yang indah-indah. Memang kita akan merasakan yang kadang-kadang penceritaan itu tidak masuk akal. Tetapi, dalam realiti memang ada perkara sedemikian. Cuma kita sahaja yang tidak tahu.

          Lagi satu, sebab kenapa rama pembaca yang berfikir begini kerana sejak dari dulu lagi, novel-novel romantik menceritakan tentang kesempurnaan seseorang hero dan heroin. Jadi, jika ada penulis yang menulis lain sahaja dari kebiasaan, kita tetap tidak akan nampak perkara tersebut kerana apa yang dapat saya katakan, rata-rata pembaca di Malaysia senang membuat kesimpulan daripada beberapa contoh yang ringkas. Sebagai contoh, kita baru sahaja membaca beberapa buah novel romantk. Walaupun jalan cerita yang berlainan, tetapi watak-watak hero dan heroin hampir sama. Jadi, apabila kita membaca buku yang seterusnya, pertama sekali yang mnda kita cari ialah kesamaan watak yang wujud. Jika perkara tu tidak hadir, kita masih lagi akan mengatakan yang semua novel cinta akan mempunyai hero dan heron yang hampir sama.

          Inilah kesimpulan yang saya maksudkan. Pembaca sengaja mewujudkan perkara yang tidak wujud di benak mereka. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Namun, bagi saya adalah tidak adil untuk kita berkata demikian kerana sesetengah penulis sentiasa mencari kelaianan dalam setiap karya mereka. Mereka juga sedar akan perkara sebegini dan sentiasa mencari sesuatu yang baru untuk pembaca mereka. Jadi, tidak perlulah kita melebelkan yang semua novel cinta adalah sama.

          Itu sahaja yang ingin saya kongsikan untuk kali ini. Harap tidak ada yang tersingung. Saya cuma ingin berkongsi pendapat serta pandangan sahaja. Sekian.

Wednesday, July 4, 2012

Mengapa Jadi Penulis?


Salam sayang buat semua yang membaca.

          Hari ini saya ingin berkongsi sedikit dengan anda semua tentang sebab mengapa saya menulis. Saya percaya, ramai yang menulis kerana minat. Namun, bagi diri saya, selain minat saya menulis kerana saya ingin berkongsikan cerita saya dengan orang lain. 

          Inilah yang ingin saya sampaikan dalam novel-novel saya. Walaupun mungkin ramai yang beranggapan bahawa novel saya ini hanya sekadar bahan bacaan yang sama genrenya dengan novel-novel lain, tetapi bagi saya itulah cerita yang saya ingin kongsikan. Sekadar cebisan pengalaman yang pernah saya lalui dalam hidup ini. Bagi saya, setiap hasil tulisan saya mengandungi satu mesej yang jelas dan saya harap para pembaca turut faham akan mesej tersebut.

          Mesej yang saya maksudkan ialah tentang realiti kehidupan. Kadang-kadang, kita sering mengeluh dengan segala macam kepahitan yang datang dalam hidup kita. Namun, sedarkah kita yang kita sebenarnya sedang mencorakkan sendiri kehidupan kita. Kita diberi pilihan dan pilihan itulah yang menentukan masa depan kita. Mengapa kita memilih untuk berduka sedangkan kita boleh memilih untuk tertawa. Jadi, bergembiralah walaupun kita ditimpa musibah dan sekiranya musibah itu terlalu berat untuk kita menanggungnya, pergilah kepada orang yang boleh kita percayai. Berkongsilah dengan mereka kerana berdua lebih baik.

          Bagi saya, salah satu cara untuk saya berkongsi cerita saya ialah dengan menulis. Pengalaman hidup saya akan saya coretkan sebahagiannya agar pembaca di luar sana tahu bahawa hidup ini tidaklah semudah yang mereka sangka namun, sekiranya kita bersabar dan tenang menghadapinya, nescaya akan tiba saatnya nanti kita akan merasa sinar kebahagiaan. Jadi, kenapa saya ingin menulis? Kerana saya ingin berkongsi cerita yang saya ada dengan anda semua. Moga dengan perkongsian ini, anda semua terhibur dan mendapat pengajaran yang bermakna daripadanya. 
          

Monday, July 2, 2012

Persoalan Utama

Gambar daripada Google Image         

         Deringan jam loceng mematikan mimpi indahku. Mimpi yang aku sendiri tidak mampu untuk mengingatinya kembali. Mimpi yang terus hilang tanpa meninggalkan jejak dalam ingatanku. Telefon bimbit ku capai. Skrin telefon ku tatap untuk melihat panggilan yang masuk sewaktu lenaku. 

          'Ternyata tidak ada yang menganggu,' kata hati kecilku.

          Punat jam loceng ku tekan. Sekaligus mematikan jeritannya yang membingitkan telinga. Aku menguap beberapa kali. Cuba meraih tenaga yang ada dari sekitaran. Bantal yang berserakan ku susun semula. Cadar yang kusut ku tarik supaya kembali tegang seperti sebelumnya. Setelah selesai mengemas, aku melangkah keluar dari perut bilik. Melangkah dengan longlai kerana masih lagi dengan ngantuk ku. Langkah di atur menuju bilik air. Daun pintu dirapatkan dan dikunci. Aku berdiri menghadap cermin. Melihat wajahku yang kusut masai.

          "Selamat Pagi!" ucapku di hadapan cermin sambil tersenyum. Inilah kebiasaanku setiap pagi. Mengucapkan selamat pagi kepada diri sendiri. Aku percaya yang kita harus memulakan pagi dengan senyuman dan kegembiraan. Jadi, mengapa tidak kita mengucapkan kata-kata indah buat diri kita sendiri di permulaan hari.

          Usai membersihkan diri, aku bergegas semula ke kamarku. Menukar pakaian dan merapikan rambutku. Pabila selesai dengan rutin harianku, aku terus melangkah ke dapur. Menyediakan air panas buat pembasah tekak di waktu pagi. Mug besar kegemaranku sering menjadi pilihan. 

          'Mana best kalau tak minum dalam mug ni,' bisikku sendirian.

          Setelah selesai membancuh kopi kegemaranku, aku mengatur langkah ke ruang tamu. Balkoni yang menghadap ke kota menjadi sasaran. Inilah tempat yang paling aku gemar di dalam rumah ini. Tempat yang sering aku pergi sekiranya aku ingin bersendirian. Inilah ketenangan bagi diriku. Kesunyian pagi dan pemandangan sesak ibu kota. Melihat ragam warga kota yang sibuk dengan agenda masing-masing. Pemandangan sebegini selalu membuatkan aku terfikir. Berfikir tentang diri, tentang kerjaya dan juga tentang masa depan. 

          Apa yang kita cari dalam hidup ini? Apa sebenarnya yang kita mahukan? Harta? Keluarga? Ketenangan? Apa sebenarnya? Bagaimana kehidupanku lima tahun akan datang? Adakah aku masih begini? Adakah aku masih lagi bernafas? Inilah persoalan-persoalan yang sering aku timbulkan sewaktu berada di balkoni ini. Mungkin tidak ramai yang berbuat begini. Namun, sedarkah kita yang apa sebenarnya yang kita cari di dunia ini. Itulah persoalan utama yang sering kita lari daripada mencari jawapannya.

          Pernahkah anda berfikir tentangnya?

Sunday, July 1, 2012

Novel Pertama

Salam sayang buat semua pembaca.

          Hari ini saya nak cerita pasal novel pertama saya yang baru sahaja berada di pasaran. Judul novel pertama saya ini ialah Kisah Kau, Aku & Dia dan di bawah ini adalah muka hadapan novel yang saya maksudkan.


          Kulit novel ini saya sangat suka sebab saya tidak menjangkakan yang kulit depannya akan cantik sebegini. Sangat cantik dan sesuai dengan isi novel. Dalam novel ini, saya telah gabungkan tiga cerita daripada tiga watak yang berbeza iaitu Rizman, Farish dan Armand. Masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza dan menarik sehingga mereka bertiga menjadi pujaan ramai di sekolah mereka. 

          Namun, konflik timbul apabila kisah silam Farish diungkit kembali manakala Armand pula dikejutkan dengan berita tentang keluarganya. Rizman yang baru sahaja bersahabat baik dengan Farish dan Armand turut sama terkena tempiasnya apabila kehadirannya tidak disenangi oleh jiran barunya. Banyak yang cuba saya tonjolkan dalam novel ini. Antaranya ialah kekuatan dan kepentingan sebuah persahabatan. Inilah yang kita cari dalam dunia hari ini. Seorang sahabat yang setia dan sanggup sama-sama susah dengan kita.

          Jadi, bagi remaja di luar sana, novel ini khas untuk anda semua. Sebuah novel remaja yang mampu membuatkan anda terhibur dan hanyut dalam kisah penceritaanya. Rizman, Farish dan Armand sudah ada cerita mereka sendiri. Jadi, bagaimana pula dengan anda? Sudahkah anda membaca kisah mereka?