Apa erti kebebasan? Pernahkah kita berfikir tentang kebebasan? Salam buat yang membaca. Entri saya pada hari ini berkenaan tentang kebebasan. Tahukah kita apa itu erti kebebasan? Menurut kamus dewan bahasa, kebebasan memberi erti sesuatu keadaan atau hal yang bebas. Dan menurut saya pula, kebebasan itu adalah sesuatu keadaan di mana kita berpeluang untuk melakukan apa sahaja perkara yang kita inginkan.
Bagi saya, dalam dunia ini, kita mesti akan terasa ingin melakukan sesuatu. Namun, ada sahaja perkara yang akan membataskan kita untuk melakukannya. Contohnya, kekurangan masa, malu atau segan, tidak yakin akan kebolehan diri, bimbang diejek dan lain-lain lagi. Perkara sebegini memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita. Kita ingin melakukan sesuatu yang dianggap menarik bagi diri kita, namun sering diperlekehkan.
Jika anda pernah merasai perkara yang sama, percayalah bahawa anda tidak keseorangan. Saya juga pernah merasai detik yang sama seperti anda. Secara jujurnya, saya mempunyai sifat yang sangat pemalu kerana saya tidak berasa yakin pada diri saya sendiri. Jadi, hampir setiap perkara yang saya fikirkan dalam kepala saya tidak pernah saya lakukan. Namun, setelah berusia 20 tahun, saya mula menyedari akan hakikat ini. Saya duduk dan berfikir sejenak. Perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup saya ini. Dan perlahan-lahan saya cuba melakukannya sedaya yang saya mampu.
Alhamdulilah, sekarang saya sudah mampu untuk berasa yakin dengan diri saya. Walaupun sifat pemalu itu masih lagi ada. Saya sudah lakukan perkara yang saya ingin lakukan dalam hidup dan terus melakukannya. Saya sudah menulis novel seperti yang saya inginkan dan saya juga sedang merancang untuk berniaga seperti yang saya inginkan. Jadi, buat pembaca yang ada cita-cita dan impian. Cubalah lakukannya sebaik mungkin. Jangan biarkan diri kita dikecewakan oleh diri sendiri. Lakukan yang terbaik dalam hidup kita kerana hidup hanya seketika. Dan peluang hanya datang sekali sahaja. Jadi, bermimpilah dan lakukannya dengan baik. Semoga kita semua diredhai Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment