Pernah tak kita rasa yang satu masalah tu merupakan masalah yang terbesar pernah kita hadapi dalam hidup kita. Kesukaran yang membuatkan kita sentiasa bersedih dan berduka. Jika anda pernah merasai situasi seperti ini, jangan risau. Anda bukan berseorangan kerana ramai yang mempunyai nasib sama seperti anda.
Mungkin bagi orang lain, masalah yang kita hadapai itu merupakan masalah yang sangat remeh dan kecil. Namun bagi kita sendiri, sebagai orang yang melaluinya, kita akan merasakan bahawa sudah tiada lagi harapan untuk kita terus bergerak ke hadapan. Secara jujurnya, saya sendiri pernah menghadapi situasi berkenaan dan mungkin sekarang saya masih lagi menghadapi situasi yang sama. Tetapi, apa yang sering saya lakukan. Saya akan ceritakan segala masalah saya kepadaNya. Inilah yang pertama.
Jika perkara ini masih lagi tidak membantu, saya akan cuba luahkan pada orang yang saya percayai. Berkongsi cerita sedih ini perlu kerana kita sendiri tidak dapat menanggungnya seorang diri. Oleh itu, elok sekiranya jika kita meminta pendapat dari orang yang benar-benar kita percaya. Mungkin siapa tahu, sedang kita bercerita itu, jalan penyelesaian akan muncul.
Perkara terakhir yang akan saya lakukan sekiranya hati saya masih lagi tidak tenteram ialah saya akan meluahkan segala kekusutan saya ke dalam diari. Diari ini amat penting dan sangat berguna. Mungkin kadang-kala sukar bagi kita untuk mencari orang yang rapat dan boleh kita percaya. Jadi, diari merupakan jalan penyelesaiannya. Dengan diari, kita boleh menulis apa sahaja yang kita rasa dan kita pendamkan.
Jadi, terdapat banyak cara sebenarnya yang boleh kita lakukan sekiranya kita berada dalam kemurungan. Memang tidak dapat dinafikan yang kehidupan ini sukar dan sentiasa mencabar diri kita hingga ke batasnya. Mungkin luaran kita kuat dalam menempuhnya. Namun siapa tahu luka di dalam. Perasaan kita yang sangat sensitif akan cepat terluka walaupun luaran kita nampak tenang. Oleh itu, marilah sama-sama kita keluar dari kemurungan ini. Bertatih langkah demi langkah dalam menempuh hari yang mencabar.
No comments:
Post a Comment