Yang Mengenali Diri Ini

Wednesday, September 19, 2012

Apabila Terlalu Banyak Masa Terluang

          Ramai orang inginkan masa terluang yang banyak dan sekaligus tidak ingin merasa sibuk. Saya percaya, ramai yang lebih suka rileks-rileks daripada melakukan kerja. Tapi, pernahkah kita rasa, yang terlalu banyak rileks juga tidak bagus untuk diri kita. Kebanyakan kita memang memerlukan masa untuk berehat. Tetapi masa berehat yang terlalu lama boleh membuatkan diri kita tertekan.

           Saya tidak mahu menuding jari pada orang lain. Saya mengambil contoh pada diri saya sendiri. Saya merupakan seorang graduan lepasan universiti dan kini saya sedang menunggu masa bagi penempatan saya sebagai seorang guru. Sudah tiga bulan saya tidak melakukan apa-apa pekerjaan selain daripada membantu keluarga di rumah dan ternyata ianya bukanlah sesuatu perkara yang boleh saya banggakan.

          Secara jujurnya, saya mengaku yang saya seorang yang gemarkan masa terluang. Saya tidak suka bekerja dalam keadaan yang stress dan rigid. Saya lebih sukakan masa yang fleksibel. Oleh itu, saya lebih gemar melakukan perkara-perkara yang saya suka. Bukannya saya tidak mahu mencari kerja atau malas bekerja. Tetapi, saya ada alasan saya sendiri mengapa saya masih belum mencari kerja. Namun, bukannya perkara ini yang ingin saya sampaikan. Apa yang mahu saya sampaikan. Kadang-kala, kita seirng merungut kerana tidak tahan berkerja atau pun belajar. Kita tidak tahan dengan suasana yang sibuk.

          Tetapi, sedarkah kita. Jika kita mempunyai terlalu banyak masa juga. Kita turut mengalami tekanan dan kita juga akan merungut. Seperti diri saya sekarang. Walaupun saya banyak masa terluang dan saya gunakannya untuk menulis novel kedua saya, namun rasa bosan tetap tidak hilang dan ini membuatkan saya berfikir. Mengapa benda ini boleh berlaku?

          Akhirnya, saya mendapat jawapan yang saya cari (rasanya lah). Dalam dunia ini, kita mestilah bersederhana. Tidak kira dalam apa jua keadaan. Sama juga dengan masa. Kita tidak boleh terlalu sibuk dan tidak boleh terlalu lapang. Jika kita mempunyai rutin harian yang padat, pastikan rehat kita juga cukup. Jadi, hidup kita akan teratur. Dan sekiranya kita mempunyai masa lapang yang banyak, cuba sibukkan diri kita dengan melakukan kerja-kerja yang kita suka. Supaya hari kita tidak akan berasa kosong.

          Jadi, saya ingin menasihati diri saya dan juga para pembaca untuk kita sama-sama menghargai masa yang kita ada. Pastikan apa yang kita lakukan itu tiada penyesalan di kemudian hari. Dan pastikan juga masa kita tidak dibazirkan pada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

No comments:

Post a Comment