Sengaja saya pilih tajuk seperti di atas kerana ia mengambarkan apa yang saya rasa kini. Pernah tak kita rasa dalam hidup kita, apabila kita telah melakukan usaha yang terbaik yang kita mampu dan sentiasa mengharapkan kejayaan di akhir nanti. Namun, kejayaan yang kita harapkan itu tidak tercapai. Kita cuba mencari apa silapnya dan akhirnya kita buntu kerana tidak tahu apa punca yang menyebabkan kejayaan tidak hadir.
Lebih mengecewakan lagi, apabila kita melihat orang di sekeliling kita. Masing-masing berlumba mencapai kejayaan demi kejayaan walaupun usaha mereka tidaklah setimpal dengan kejayaan yang diperolehi.
Jadi di sini, sekali lagi saya ingin nyatakan yang "Tak Semua Pokok Akan Hidup". Perpatah yang saya reka sendiri bagi situasi sebegini. Kenapa saya pilih pokok? Kerana saya rasakan yang pokok sama seperti kita sendiri. Hidup dan bernyawa. Cuma mungkin nyawanya tidak kita lihat seperti diri kita sendiri. Dan cuba kita fikirkan. Jika kita menanam pokok, sudah tentu kita menjaganya bukan. Kita belai dan manjakannya. Kita lakukan sedaya yang mampu untuk biarkan pokok itu membesar dan akhirnya memberikan kita hasil dalam bentuk buah ataupun bunganya.
Sama juga dengan kes yang saya cakap sebelum ini. Kita ada matlamat dan impian. Kita bekerja ke arah impian kita. Namun, impian hanya tinggal impian. Kita mungkin akan kecewa dengan hasil yang kita dapat kerana ianya tidak seperti apa yang kita jangkaan. Dan lebih teruk lagi jika kita gagal di tengah jalan. Jadi, hal yang sama boleh berlaku pada pokok yang kita jaga. Kadang-kala, pokok yang kita jaga dengan penuh kasih sayang, akan mati juga.
Jadi, apa yang perlu kita buat? Bagi saya, secara jujurnya saya masih lagi mencari jawapannya. Saya kini berada pada situasi di mana harapan saya hampir putus. Hampir saja berputus asa dengan apa yang sedang berlaku. Namun, saya gagahkan juga untuk terus menghadapi. Mungkin luarannya tidaklah seteruk perasaan yang kita rasai. Sukar untuk saya terima dan mengerti kenapa ini berlaku pada saya. Tetapi, saya cuba untuk bertenang dan berfikir secara waras. Cuba mencari sebab semua ini berlaku. Syaitan sentiasa ada untuk menghasut dan meniupkan api kebencian. Saya berharap yang saya akan dapat melalui semua ini. Insya Allah.