Yang Mengenali Diri Ini

Wednesday, November 28, 2012

Entri Setelah Lama Menyepi

          Maaf sebab sudah lama tidak menulis dalam blog ini. Bukan malas atau tak ada masa. Sebenarnya memang ada masa untuk menulis. Tetapi kerana masih dalam fasa perubahan dan sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan fasa baru ini membuatkan saya terlupa seketika tentang blog saya ini.

           Alhamdulilah, setelah berjaya mengharungi segala cabaran. Akhirnya saya kini sudah berjawatan dan bekerja. Alam yang baru ini sememangnya mencabar dan benar-benar diluar jangkaan saya. Berkawan dan bergaul bersama insan yang lebih tua dari kita. Membuatkan saya sedikit kekok pada mulanya. Perangai yang 'gila-gila' terpaksa dikawal supaya sesuai dengan situasi setempat.

          Saya ada menyimpan hasrat untuk menerbitkan sendiri novel saya dan saya berharap suatu hari nanti ianya akan berhasil. Tetapi, saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana apa yang pasti, saya perlu berpijak pada bumi yang nyata. Komitmen yang tinggi amat diperlukan agar apa yang kita citakan itu berhasil. Jadi, memandangkan saya kini sudah berkhidmat dan mempunyai pekerjaan yang tetap. Jadi, eloklah rasanya jika saya menjadikan penulisan novel saya ini sebagai kerja sambilan saya dari rumah. Semoga urusan saya dipermudahkanNya. Amin.

* Masih sedang menulis novel kedua yang tersangatlah perlahan perjalanannya. Harapnya novel ini mampu disiapkan dengan sebaik mungkin.  

Sunday, October 21, 2012

Novel Kedua

         
           Salam hujung minggu kepada semua pembaca. Alhamdulilah, syukur saya panjatkan kepada Tuhan yang Esa kerana masih lagi diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini. Hari ini, saya ingin bercakap tentang perkara yang sedang saya usahakan sekarang. 

          Dalam waktu terdekat ini, saya sedang berusaha menyiapkan novel kedua saya. Pada mulanya saya sudah pun menulis sebahagian daripada novel yang saya baru sahaja cipta pada Ramadhan yang lalu. Namun, disebabkan novel itu tidak bersesuaian dengan perancangan penulisan saya, jadi saya terpaksa menangguhkan dahulu novel tersebut. Sekarang, saya sedang berusaha untuk memulakan novel baru yang telah lama saya biarkan. Iaitu sambungan kepada novel pertama saya.

          Bagi novel kedua ini, jalan ceritanya telah saya siapkan sebahagian besarnya dan sekarang saya cuma perlu perincikan lagi watak-watak dan konflik yang wujud. Insya Allah, jika tiada sebarang kesulitan, saya akan mula menulis novel kedua saya ini dalam bulan ini juga. Sama-sama kita doakan semoga saya dapat menyiapkan novel kedua saya ini. Amin.

Wednesday, October 17, 2012

Kehidupan Baru ku

          Salam buat semua. Hari ini, saya ingin bercerita tentang kehidupan saya kini. Setelah hampir 5 bulan menganggur di rumah. Saya akhirnya berjaya  ditawarkan sebagai seorang guru di sekolah. Walaupun hanya sekadar guru interim, namun saya bersyukur dan terima dengan redha.

          Termasuk hari ini, sudah dua hari saya mula bertugas dan ianya merupakan pengalaman baru saya. Saya tidak pernah lagi merasai seperti ini. Memang benar apa yang dikata orang. Kehidupan sewaktu belajar tidak sesusah seperti realiti kehidupan yang sebenar. Memang sukar buat diri saya melalui detik-detik begini. Dan saya berharap agar semua ini segera berakhir.

          Saya bukannya merungut tentang kerjaya saya. Tetapi saya cuba luahkan kesedihan yang ada dalam hati saya kini.Rasa segan dan malu untuk meminta pertolongan kawan yang baru sahaja dikenali. Rasa sedih kerana tiada kenderaan dan sering mengharapkan bantuan orang lain semata-mata. Tidak mengapa....saya akan cuba bersabar selagi saya mampu. Cuba menutup rasa malu. Sekian.

Saturday, October 13, 2012

Sebelah Jiwaku

          Salam kepada semua. Hari ini, saya ada mood untuk mendengar lagu. Dalam banyak-banyak lagu melayu yang saya dengar, saya suka pada lagu yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor iaitu sebelah jiwaku. Lirik lagu ini benar-benar menaikkan semangat saya. Tetapi, jangan salah faham pula, saya bukanlah tengah 'frust' sekarang ini. Cuma ada beberapa perkara yang berlaku dan ia membuatkan akal saya bercelaru. Jadi, apabila mendengar lagu ini, saya kembali bersemangat. Jadi, saya ingin berkongsi kepada pembaca di luar sana tentang lirik lagu ini.



Ketika kau ucap kata selamat tinggal
Ku sangka diriku kan hancur oh, oh
Nestapa menyiksa membuat aku sedar
Hanya aku yang bisa mengubah arah hidup
Lihatlah, lihatlah aku buktikan padamu
Walaupun ku jatuh tapi tak tersungkur
Biarkan, biarkan ku berdiri sendiri
Kerana ku yakin masih lagi mampu
Bernyawa dengan sebelah jiwaku
Ku tahu kau mahu melihat aku sugul
Tapi tak akan ku menzahirkannya oh, oh
Meskipun hatiku berderai bagai kaca
Ku kutip serpihannya dan cantumkan semula
Lihatlah, lihatlah aku buktikan padamu
Walaupun ku jatuh tapi tak tersungkur
Biarkan, biarkan ku berdiri sendiri
Kerana ku yakin masih lagi mampu
Bernyawa dengan sebelah jiwaku
Takkan ku biarkan mata mengalirkan air mata kecewa oohh
Kini ku berani lebih berdikari yeah, yeah, yeah
Lihatlah, lihatlah aku buktikan padamu
Walaupun ku jatuh tapi tak tersungkur
Biarkan, biarkan ku berdiri sendiri
Kerana ku yakin masih lagi mampu
Bernyawa dengan sebelah jiwaku
Bernyawa dengan sebelah jiwaku
Bernyawa dengan sebelah jiwaku
Bernyawa dengan sebelah jiwaku

Sunday, October 7, 2012

Kebebasan


          Apa erti kebebasan? Pernahkah kita berfikir tentang kebebasan? Salam buat yang membaca. Entri saya pada hari ini berkenaan tentang kebebasan. Tahukah kita apa itu erti kebebasan? Menurut kamus dewan bahasa, kebebasan memberi erti sesuatu keadaan atau hal yang bebas. Dan menurut saya pula, kebebasan itu adalah sesuatu keadaan di mana kita berpeluang untuk melakukan apa sahaja perkara yang kita inginkan.

          Bagi saya, dalam dunia ini, kita mesti akan terasa ingin melakukan sesuatu. Namun, ada sahaja perkara yang akan membataskan kita untuk melakukannya. Contohnya, kekurangan masa, malu atau segan, tidak yakin akan kebolehan diri, bimbang diejek dan lain-lain lagi. Perkara sebegini memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita. Kita ingin melakukan sesuatu yang dianggap menarik bagi diri kita, namun sering diperlekehkan.

          Jika anda pernah merasai perkara yang sama, percayalah bahawa anda tidak keseorangan. Saya juga pernah merasai detik yang sama seperti anda. Secara jujurnya, saya mempunyai sifat yang sangat pemalu kerana saya tidak berasa yakin pada diri saya sendiri. Jadi, hampir setiap perkara yang saya fikirkan dalam kepala saya tidak pernah saya lakukan. Namun, setelah berusia 20 tahun, saya mula menyedari akan hakikat ini. Saya duduk dan berfikir sejenak. Perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup saya ini. Dan perlahan-lahan saya cuba melakukannya sedaya yang saya mampu. 

          Alhamdulilah, sekarang saya sudah mampu untuk berasa yakin dengan diri saya. Walaupun sifat pemalu itu masih lagi ada. Saya sudah lakukan perkara yang saya ingin lakukan dalam hidup dan terus melakukannya. Saya sudah menulis novel seperti yang saya inginkan dan saya juga sedang merancang untuk berniaga seperti yang saya inginkan. Jadi, buat pembaca yang ada cita-cita dan impian. Cubalah lakukannya sebaik mungkin. Jangan biarkan diri kita dikecewakan oleh diri sendiri. Lakukan yang terbaik dalam hidup kita kerana hidup hanya seketika. Dan peluang hanya datang sekali sahaja. Jadi, bermimpilah dan lakukannya dengan baik. Semoga kita semua diredhai Allah. Amin.

Saturday, September 29, 2012

Tak Semua Pokok Akan Hidup

          
          Sengaja saya pilih tajuk seperti di atas kerana ia mengambarkan apa yang saya rasa kini. Pernah tak kita rasa dalam hidup kita, apabila kita telah melakukan usaha yang terbaik yang kita mampu dan sentiasa mengharapkan kejayaan di akhir nanti. Namun, kejayaan yang kita harapkan itu tidak tercapai. Kita cuba mencari apa silapnya dan akhirnya kita buntu kerana tidak tahu apa punca yang menyebabkan kejayaan tidak hadir.

          Lebih mengecewakan lagi, apabila kita melihat orang di sekeliling kita. Masing-masing berlumba mencapai kejayaan demi kejayaan walaupun usaha mereka tidaklah setimpal dengan kejayaan yang diperolehi.

          Jadi di sini, sekali lagi saya ingin nyatakan yang "Tak Semua Pokok Akan Hidup". Perpatah yang saya reka sendiri bagi situasi sebegini. Kenapa saya pilih pokok? Kerana saya rasakan yang pokok sama seperti kita sendiri. Hidup dan bernyawa. Cuma mungkin nyawanya tidak kita lihat seperti diri kita sendiri. Dan cuba kita fikirkan. Jika kita menanam pokok, sudah tentu kita menjaganya bukan. Kita belai dan manjakannya. Kita lakukan sedaya yang mampu untuk biarkan pokok itu membesar dan akhirnya memberikan kita hasil dalam bentuk buah ataupun bunganya.

          Sama juga dengan kes yang saya cakap sebelum ini. Kita ada matlamat dan impian. Kita bekerja ke arah impian kita. Namun, impian hanya tinggal impian. Kita mungkin akan kecewa dengan hasil yang kita dapat kerana ianya tidak seperti apa yang kita jangkaan. Dan lebih teruk lagi jika kita gagal di tengah jalan. Jadi, hal yang sama boleh berlaku pada pokok yang kita jaga. Kadang-kala, pokok yang kita jaga dengan penuh kasih sayang, akan mati juga. 

          Jadi, apa yang perlu kita buat? Bagi saya, secara jujurnya saya masih lagi mencari jawapannya. Saya kini berada pada situasi di mana harapan saya hampir putus. Hampir saja berputus asa dengan apa yang sedang berlaku. Namun, saya gagahkan juga untuk terus menghadapi. Mungkin luarannya tidaklah seteruk perasaan yang kita rasai. Sukar untuk saya terima dan mengerti kenapa ini berlaku pada saya. Tetapi, saya cuba untuk bertenang dan berfikir secara waras. Cuba mencari sebab semua ini berlaku. Syaitan sentiasa ada untuk menghasut dan meniupkan api kebencian. Saya berharap yang saya akan dapat melalui semua ini. Insya Allah.

Friday, September 28, 2012

Bajet 2013

          Salam buat semua yang berkunjung ke blog saya. Hari ini merupakan hari Jumaat dan hari ini juga, adalah hari di mana pembentangan bajet 2013 dilakukan oleh perdana menteri.

          Saya bukan apa, kalau diikutkan pada tahun-tahun terdahulu, saya jarang mengikuti pembentangan bajet secara live. Saya cuma membacanya dalam akhbar keesokkan hari. Tetapi, lain pula dengan halnya untuk bajet 2013 ini. Saya lebih suka untuk menontonnya dalam kaca televisyen kerana ianya sangat penting dan memberi impak pada kerjaya saya.

          Untuk pengetahuan semua, saya merupakan pelajar lepasan IPG dan sehingga sekarang, saya masih lagi menganggur. Menunggu panggilan temuduga yang masih lagi tidak kedengaran. Jadi, seminggu yang lalu, saya ada membaca di dalam akhbar yang mengatakan nasib 10,200 bakal guru yang menganggur akan ditentukan dalam bajet 2013 ini. Sebab itulah kenapa bajet ini sangat penting bagi saya.

          Saya berharap yang bajet 2013 ini akan memberikan jawapan terbaik dalam kerjaya saya. Semoga Allah memperkenankan doa saya. Amin.