Yang Mengenali Diri Ini

Saturday, August 25, 2012

Persahabatan

         
          Aku menghempaskan badanku ke sofa. Terasa benar keempukan buatannya. Sungguh melegakan. Terasa hilang segala kepenatan. Kelopak mata ku pejamkan buat seketika. Cuba mencari ketenangan dengan merasai sendiri suasana persekitaran. Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Terasa seperti melepaskan masalah yang sudah lama berdamping denganku. Buat seketika, memori silam kembali mengamit pandangan. Lipatan sejarah kisah hidupku sekali lagi ditayangkan di ruang minda.

          Karim, nama rakan karibku yang sudah lama tidak ku temui. Dia merupakan satu-satunya insan yang sentiasa hadir tidak kira sama ada pada waktu susah mahupun senang. Pernah dulu, sewaktu aku bersendirian. Menangis dan merintih tentang nasib yang telah menimpa diriku. Karim yang pada waktu itu sedang melihat kelakuanku, menghampiri dan bertanya.

          "Kenapa kau menangis?" soal Karim.

          Namun soalan Karim dibiarkan sahaja olehku. Aku lebih selesa untuk berdiam diri daripada berkata-kata. Karim masih lagi dengan persoalannya. Tidak berputus asa untuk mencuba. Berkali-kali soalan yang sama ditanyakan kepada ku dan aku tetap membisu.

          Setelah lama Karim disampingku, akhirnya dia mengalah. Kekecewaan jelas terpancar pada air wajahnya. Entah apa yang difikirkannya, aku sendiri tidak tahu. Apa yang penting, dalam hatiku ketika itu jelas berbisik.

           'Semua manusia sama sahaja. Tidak ada seorang pun yang sanggup berkongsi kesusahan. Yang ada hanyalah kegembiraan.' Aku jelas kecewa dengan tindakan Karim kerana meninggalkanku ketika itu.

          Namun, kekecewaan aku tidak berpanjangan. Perbuatan Karim yang secara tiba-tiba benar-benar mengejutkan ku. Tanpa aku sedari, Karim telah berjalan menuju ke ruang yang terbuka. Di hadapan semua orang yang sedang sibuk berjalan, Karim menjerit dan memekik.

          "Dengar sini semua! Nama aku Karim dan hari ini, aku berjanji yang aku akan menjaga sahabat aku ini. Untuk itu, jika ada sesiapa yang berani menganggu rakan baik aku ini, sila tampil ke sini!" pekik Karim dengan lantang. Pekikannya membuatkan semua mata memandang ke arahnya. Suasana yang sebentar tadi sibuk kini bertukar sepi akibat pekikan daripada Karim.

          Selesai dengan perbuatannya, Karim kemudian berpaling menghadapku dan mula mengatur langkah. Langkahnya semakin pantas apabila mendekatiku. Dengan rakus, Karim mencapai tanganku dan menariknya. Aku yang masih lagi terpinga-pinga tidak membantah perbuatan Karim. Sambil menarik tanganku, Karim berjalan menuju ke satu destinasi yang aku sendiri tidak pasti. Tapi, apa yang pasti ketika itu, hatiku berbisik lagi.

          'Inilah satu-satunya sahabat yang payah untuk aku cari dalam dunia ini. Terima kasih Ya Allah kerana telah menemukan aku dengan sahabatku ini,'


No comments:

Post a Comment