Yang Mengenali Diri Ini

Thursday, August 30, 2012

Hari Kemerdekaan

           Salam buat semua. Hari ini saya ingin bercakap tentang kemerdekaan. Mungkin ramai yang sudah tahu dan faham akan erti kemerdekaan dan harga sebuah pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan. Tetapi adakah kita pernah meneliti secara halus akan pengorbanan itu. Hanya mengetahui maksud sahaja tidak bermakna yang kita menghargainya. Hanya orang yang pernah melalui detik perit sewaktu zaman penjajah sahaja yang tahu dan faham akan erti pengorbanan.

          Jadi, sebab itulah kita perlu tahu dan kenal sejarah negara kita agar kelak tidak akan ada kekeliruan identiti. Kita mesti tahu dari mana asal-usul kita dan bagaimana kita boleh wujud supaya timbul rasa cintakan negara dan menghargai pengorbanan pejuang yang terdahulu.

          Jadi, dikesempatan ini, saya ingin mengajak sekiranya ada dikalangan pembaca yang berminat tentang sejarah dan merupakan peminat setiap panggung wayang, marilah kita sama-sama menonton filem 29 Februari yang bakal ditayangkan pada hari ini.



          Saya sudah melihat sendiri trailer filem ini dan ternyata ianya tidak mengecewakan. Saya berharap, sempena bulan kemerdekaan ini kita semua dapat merenung kembali akan masa silam yang pernah mencorakkan negara kita. Ingat, sejarah adalah benda yang lalu dan tidak boleh diubah lagi. Tetapi sejarah mampu memberikan panduan supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang lampau. Salam Kemerdekaan yang ke-55 dari saya.

Saturday, August 25, 2012

Persahabatan

         
          Aku menghempaskan badanku ke sofa. Terasa benar keempukan buatannya. Sungguh melegakan. Terasa hilang segala kepenatan. Kelopak mata ku pejamkan buat seketika. Cuba mencari ketenangan dengan merasai sendiri suasana persekitaran. Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Terasa seperti melepaskan masalah yang sudah lama berdamping denganku. Buat seketika, memori silam kembali mengamit pandangan. Lipatan sejarah kisah hidupku sekali lagi ditayangkan di ruang minda.

          Karim, nama rakan karibku yang sudah lama tidak ku temui. Dia merupakan satu-satunya insan yang sentiasa hadir tidak kira sama ada pada waktu susah mahupun senang. Pernah dulu, sewaktu aku bersendirian. Menangis dan merintih tentang nasib yang telah menimpa diriku. Karim yang pada waktu itu sedang melihat kelakuanku, menghampiri dan bertanya.

          "Kenapa kau menangis?" soal Karim.

          Namun soalan Karim dibiarkan sahaja olehku. Aku lebih selesa untuk berdiam diri daripada berkata-kata. Karim masih lagi dengan persoalannya. Tidak berputus asa untuk mencuba. Berkali-kali soalan yang sama ditanyakan kepada ku dan aku tetap membisu.

          Setelah lama Karim disampingku, akhirnya dia mengalah. Kekecewaan jelas terpancar pada air wajahnya. Entah apa yang difikirkannya, aku sendiri tidak tahu. Apa yang penting, dalam hatiku ketika itu jelas berbisik.

           'Semua manusia sama sahaja. Tidak ada seorang pun yang sanggup berkongsi kesusahan. Yang ada hanyalah kegembiraan.' Aku jelas kecewa dengan tindakan Karim kerana meninggalkanku ketika itu.

          Namun, kekecewaan aku tidak berpanjangan. Perbuatan Karim yang secara tiba-tiba benar-benar mengejutkan ku. Tanpa aku sedari, Karim telah berjalan menuju ke ruang yang terbuka. Di hadapan semua orang yang sedang sibuk berjalan, Karim menjerit dan memekik.

          "Dengar sini semua! Nama aku Karim dan hari ini, aku berjanji yang aku akan menjaga sahabat aku ini. Untuk itu, jika ada sesiapa yang berani menganggu rakan baik aku ini, sila tampil ke sini!" pekik Karim dengan lantang. Pekikannya membuatkan semua mata memandang ke arahnya. Suasana yang sebentar tadi sibuk kini bertukar sepi akibat pekikan daripada Karim.

          Selesai dengan perbuatannya, Karim kemudian berpaling menghadapku dan mula mengatur langkah. Langkahnya semakin pantas apabila mendekatiku. Dengan rakus, Karim mencapai tanganku dan menariknya. Aku yang masih lagi terpinga-pinga tidak membantah perbuatan Karim. Sambil menarik tanganku, Karim berjalan menuju ke satu destinasi yang aku sendiri tidak pasti. Tapi, apa yang pasti ketika itu, hatiku berbisik lagi.

          'Inilah satu-satunya sahabat yang payah untuk aku cari dalam dunia ini. Terima kasih Ya Allah kerana telah menemukan aku dengan sahabatku ini,'


Thursday, August 23, 2012

Menziarahi Saudara

          
          Salam Aidilfitri buat semua pembaca. Hari ini, saya barulah saya dapat pergi beraya ke rumah sanak-saudara. Disebabkan ayah saya merupakan anak sulung, jadi ramailah saudara-mara yang datang berkunjung ke rumah sehingga tidak sempat untuk keluar menziarahi sanak-saudara.

          Bagi saya, amalan kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara ini merupakan amalan yang baik dan harus kita kekalkan. Maklumlah, bukannya selalu dapat berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerja yang ada. Jadi, Hari Rayalah masanya untuk kita berkunjung dan berjumpa. Bertukar-tukar cerita serta mengenali saudara yang mungkin selama ini tidak kita kenali. 

          Jadi, di kesempatan ini saya ingin berpesan kepada pembaca semua. Ziarahilah rumah kenalan, rakan, teman dan sanak-saudara anda kerana kita tidak tahu adakah Syawal ini adalah Syawal terakhir untuk kita bersua muka. Jadi, rebutlah peluang yang ada dalam mengeratkan hubungan kita sesama manusia.

Sunday, August 19, 2012

Salam Aidil Fitri


          Salam buat semua pembaca. Hari ini, sempena hari yang mulia ini saya ingin memohon seribu kemaafan buat semua yang membaca blog saya. Diharap pada hari yang penuh berkat ini kita dapat menyambutnya dengan penuh keriangan. Akhir kata dari saya, selamat hari raya maaf zahir dan batin.